APA PERANAN TMJ DALAM RATIFIKASI ICERD?
Pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan telah menunjukkan kegagalan mereka dalam memahami inti hati rakyat Malaysia dalam pelbagai perkara seperti ekonomi, kewangan, dan lain-lain lagi. Namun dalam perihal tradisi dan perkauman pula tiada isu yang lebih besar daripada isu mengenai ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) dimana kerajaan pimpinan Tun Mahathir akhirnya terpaksa membuat “U-turn” dan menukar keputusan asal mereka.
Terdapat ramai lapisan masyarakat yang mencabar keputusan kerajaan ketika itu, terutamanya ketika demonstrasi pembantahan ICERD di Kuala Lumpur pada bulan Disember 2018. Ramai juga di kalangan ahli politik dan pemimpin yang lantang bersuara. Dan salah satu individu yang dilihat sangat instrumental atau berjaya mempengaruhi pendapat rakyat mengenai ICERD adalah Tunku Mahkota Johor. TETAPI APA SEBENARNYA PERANAN TMJ DALAM MENYEMARAKKAN SENTIMEN RAKYAT MENGENAI ISU INI?
Secara umumnya, ICERD merupakan sebuah konvensyen oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertujuan untuk memupuk kesetaraan kaum di segenap lapisan masyarakat antarabangsa. Meskipun secara asasnya konvensyen ini berniat baik, namun kita perlu melihat sejarah, adat, dan uruf setempat (Malaysia) yang berbeza dengan negara-negara lain.
Walaupun Malaysia merupakan negara yang berbilang bangsa dan fahaman, ratifikasi ICERD boleh menghasilkan kemudaratan yang lebih besar daripada kebaikannya. Sudah tentu ia akan membuka ruang kepada pihak lain untuk mencabar Perkara 153 dalam Perlembagaan Malaysia, mencabar kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan peruntukan keistimewaan terhadap orang Bumiputera di negara ini, serta mencabar kedudukan Majlis Raja-Raja. Perlembagaan Malaysia sudah pun menjamin hak-hak setiap warganegara, tidak mengira bangsa atau agama.
Pada mulanya rakyat tidak banyak bersuara tetapi selepas beberapa VVIP termasuk TMJ membuka mulut, ramai rakyat mula menentang ICERD. Adakah ini “deep state” yang dimaksudkan oleh kerajaan PH iaitu elemen-elemen tersembunyi yang mempunyai akses dan pengaruh yang besar di dalam jentera-jentera kerajaan dan berjaya mendominasi pemikiran rakyat untuk menentang keputusan kerajaan mengenai ICERD?
Sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kerajaan-dah-batal-icerd-tak-perlu-lagi-berhimpun-191911
Tunku Mahkota Johor ketika itu berpesan kepada setiap rakyat Malaysia supaya bertanggungjawab dalam mempertahankan Perlembagaan Malaysia, selepas baginda ditanya oleh seorang netizen mengenai pandangan baginda terhadap ICERD. Adakah ini satu pesanan yang telah dirancang oleh TMJ? Kerana baginda mungkin menggunakan kekuatan akaun-akaun media sosialnya yang mempunyai pengaruh yang sangat luas dikalangan belia-belia Malaysia. Adakah soalan asal itu juga satu “planted question” atau telah dirancang oleh baginda sendiri?
Baginda juga berpesan supaya rakyat seharusnya tidak melupakan tradisi, warisan, dan sejarah yang berlaku di negara ini. “Menjadi liberal dalam pembangunan dan inovasi adalah bagus, tetapi kita tidak seharusnya lupa tradisi, warisan dan sejarah kita,” katanya.
Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/677/EDISI/Johor/ICERD-Ini-pesanan-TMJ-buat-rakyat-Malaysia
Mujurlah akhirnya Malaysia menarik diri daripada penyertaan penuh ICERD, yang mungkin akan membawa pelbagai isu seperti isu perkauman dan juga mungkin akhirnya memusnahkan kedudukan istimewa Bumiputera dan warisan tradisi institusi Raja-Raja orang Melayu.
Keputusan asal untuk meratifikasi ICERD telah dilakukan oleh kabinet Tun Dr Mahathir ketika itu tanpa perbincangan dengan Majlis Raja-Raja Melayu. Keputusan untuk tidak membuat perbincangan ini adalah amat mengecewakan kerana Majlis Raja-Raja mempunyai peranan yang penting seperti yang tertulis di dalam Perlembagaan Persekutuan. Maklumlah, Tun Dr Mahathir tidak pernah mementingkan hubungan istana dengan orang Melayu dan juga mempunyai sejarah menentang kuasa Raja-Raja Melayu. Bila kerajaan PH akhirnya terpaksa membuat keputusan “U-turn” dan menolak ratifikasi ICERD adakah ini dilihat sebagai satu “kejayaan” TMJ dalam menewaskan Tun Mahathir?
Walaupun kerajaan PH tidak lagi memegang tampuk kuasa, namun masih lagi ramai di luar sana yang menginginkan Malaysia untuk menjadi sebuah negara liberal. Orang Melayu hanya boleh bergantung kepada Majlis Raja-Raja Melayu untuk mempertahankan hak-hak mereka yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Keberanian Tunku Mahkota Johor dalam bersuara mengenai isu ini secara langsung ataupun tidak langsung telah berjaya dalam memeliharakan kedaulatan negara dan keutuhan institusi Raja-Raja Melayu.
Akhirnya adakah rancangan atau “game plan” TMJ yang telah berjaya mempengaruhi keputusan kerajaan PH untuk menolak keputusan untuk ratifikasi ICERD? Ataupun baginda hanya memberi pendapat peribadi baginda bila ditanya di media sosial? Ataupun ianya hanyalah secara kebetulan ramai rakyat yang turun pada demonstrasi di Kuala Lumpur membawa sepanduk dan plakad-plakad dengan nama TMJ diatasnya?





Comments
Post a Comment