Johor Negeri Berdaulat Dan Tidak Pernah Dijajah


Tahukah anda, Johor tidak pernah dijajah oleh British? Umumnya, rata-rata rakyat Malaysia menganggap bahawa Semenanjung Malaysia, ataupun Tanah Melayu pernah dijajah secara menyeluruh oleh British sehingga 31 Ogos 1957. Namun jika kita meneliti rekod sejarah, naratif ini mudah untuk disangkal. Pertamanya sekali, perlunya kita faham maksud perkataan ‘jajahan’. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, perkataan jajahan bermaksud kawasan yang termasuk dalam satu pentadbiran, atau daerah atau kawasan yang ditakluki. Kedua, perlu kita memahami kedudukan British terhadap Negeri-Negeri Melayu pada akhir abad ke-19 sehingga awal abad ke-20.

Rujukan: https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=jajahan
Jelasnya, menurut terbitan Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society bahawa British menganggap Negeri-Negeri Melayu sebagai negeri yang berdaulat dan bukannya tanah jajahan British. Pihak British yang diwakili Pejabat Kolonial (Colonial Office) sendiri mengakui bahawa pengaruh mereka adalah berdasarkan perjanjian yang berasingan dengan Negeri-Negeri Melayu dan bukannya
penjajahan yang menyeluruh. Istilah yang diguna pakai dalam laporan William Ormsby-Gore, Setiausaha Parlimen Koloni semasa beliau melawat Malaya pada tahun 1928 ialah “Pengaruh British diwujudkan bukan kerana penaklukan Negeri-Negeri Melayu, malah di bawah jemputan Raja-Raja Melayu. Kedudukan British di setiap Negeri Melayu berdasarkan perjanjian. Mereka kekal menjadi Negeri-Negeri Melayu dulu, kini dan selamanya.”.

Khususnya dia Johor, kewibawaan Almarhum Sultan Abu Bakar telah mendapatkan pengiktirafan Johor sebagai negeri berdaulat apabila baginda berjaya mengelakkan penempatan seorang Residen British di negeri Johor melalui persahabatan baginda dengan Ratu Great Britain, Queen Victoria. Baginda telah ke Great Britain pada tahun 1885 untuk mengiktiraf Perjanjian Johor 1885 yang menentukan bahawa Johor merupakan sebuah negeri yang berdaulat. Pada masa yang sama, kes Mighell v. Sultan of Johore (1894) menunjukkan Maharaja Abu Bakar, Sultan Johor ketika itu, mempunyai kedaulatan sendiri sebagai pemimpin ulung Johor - justeru tidak boleh dibicarakan oleh pihak kehakiman di Britain atas sebab Johor itu sendiri adalah sebuah negeri yang bebas dan berdaulat dan setaraf dengan Empayar British sendiri.

Rujukan: Sinclair, Keith. “The British Advance in Johore, 1885-1914.” Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, vol. 40, no. 1 (211), 1967, pp. 93–110. JSTOR, https://www.jstor.org/stable/41491908

Rujukan: https://swarb.co.uk/mighell-v-sultan-of-johore-ca-1894/
Baginda turut memasyhurkan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor pada 14 April 1895 dan merupakan Negeri Melayu pertama mengadakan undang-undang itu. Undang-Undang Tubuh Negeri Johor turut menjadi contoh untuk negeri-negeri lain bagi memelihara dan melindungi kedaulatan mereka.

Menurut Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895, Fasal 15 dan 16 menyatakan bahawa Sultan Johor dan mana-mana pemimpinnya tidak boleh menyerahkan atau berbuat sebarang perjanjian atau ikhtiar hendak menyerahkan akan negeri atau sesuatu bahagian daripada negeri dan kerajaan Johor itu kepada sebarang kerajaan atau kuasa bangsa Eropah. Terbuktilah kebijaksanaan Almarhum Sultan Abu Bakar dalam memelihara kedaulatan negeri Johor apabila Johor merupakan Negeri Melayu yang terakhir untuk menerima penasihat British pada tahun 1910. Walaubagaimanapun, penasihat British dalam pentadbiran negeri Johor tidak sama pangkat dengan Residen British di negeri lain.

Selain daripada British, kedaulatan Johor turut diiktiraf dengan adanya pertemuan diplomatik yang diadakan bagi mengukuhkan persahabatan Johor dengan empayar dan negara luar seperti Prussia, Empayar China, Itali, Austria dan Turki Uthmaniyah. Almarhum Sultan Abu Bakar telah menerima lawatan daripada Prince Heinrich dari Prussia dan Raja Hawaii pada tahun 1880. Pada tahun 1893 pula, Archduke Ferdinand dari Austria telah melawat Johor. Pembunuhan Archduke Ferdinand pada tahun 1914 oleh pengganas Serbia akan mencetuskan Perang Dunia Pertama. Di bawah pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar, Johor turut menyertai ekspo antarabangsa, khususnya di Australia pada 1887 dan World’s Fair di Chicago, Amerika Syarikat pada tahun 1893. Dalam kedua-dua ekspo ini, Johor Pavilion telah dipamerkan.

Rujukan: Abdullah, A. Rahman Tang. “Sultan Abu Bakar's Foreign Guests and Travels Abroad, 1860s-1895: Fact and Fiction in Early Malay Historical Accounts.” Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, vol. 84, no. 1 (300), 2011, pp. 1–22. JSTOR, https://www.jstor.org/stable/41493787

Semasa zaman pemerintahan Jepun pula, istana Johor tidak diceroboh oleh tentera Jepun kerana Almarhum Sultan Sir Ibrahim telah menunjukkan bintang kebesaran Maharaja Jepun kepada Panglima Tentera darat Tentera Jepun, Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita. Bintang kebesaran Imperial Order of the Rising Sun’ telah dikurniakan kepada Almarhum Sultan Sir Ibrahim sewaktu baginda mengadakan lawatan rasmi ke Jepun pada 1920-an. Panglima Tentera Jepun itu kemudian tunduk hormat lalu berundur dan tidak menceroboh istana Johor.

Status Johor sebagai negeri berdaulat (sovereign State) dari tahun 1948 sehingga 1957 turut dibuktikan dalam Fasal 15, Perjanjian Johor 1948 dan Fasal 155, Perjanjian Persekutuan 1948. Ia turut dibuktikan dalam keputusan kes Privy Council tahun 1952 (Sultan of Johor v Tunku Abubakar).

Rujukan: https://www.icj-cij.org/public/files/case-related/130/17736.pdf

Dalam hal ini tidak dapat dinafikan bahawa kebijaksanaan dan kewibawaan Sultan-Sultan Johor dan pemimpin-pemimpin Johor telah berjaya mengekalkan kemerdekaan Johor sehinggalah hari ini.

Bangga kita sebagai Bangsa Johor yang diberkati dengan kepimpinan yang dapat menahan gelombang kolonialisme dan memartabatkan Ketuanan Melayu di tanahair sendiri.

Comments

Popular posts from this blog

STATUT ROM: APA YANG TERJADI SEBENARNYA?

APA PERANAN TMJ DALAM RATIFIKASI ICERD?